Foto Kredit: ANTARA FOTO

SERAMAI 127 orang maut dalam rusuhan di Stadium Kanjuruhan. Jumlah itu mengatasi tragedi Hillsborough, yang merupakan masa gelap untuk bola sepak Inggeris.

Arema FC tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya pada pertembungan Liga 1 Indonesia di Stadium Kanjuruhan pada Sabtu. Penyokong Aremania yang tidak menerima keputusan membuat onar dengan memasuki padang.

Bukan sahaja menceroboh padang, mereka juga merosakkan kereta polis dan membakar objek di stadium. Tindakan penyokong itu memaksa pasukan keselamatan berpatah balik termasuk menggunakan gas pemedih mata.

Korban kemudiannya tidak dapat dielakkan. Setakat ini, 127 orang telah meninggal dunia akibat tragedi di Kanjuruhan.

“127 orang meninggal dunia, dua di antaranya anggota Polri,” kata Ketua Polis Jawa Timur Inspektor Jenderal Nico Afinta kepada wartawan di Polres Malang, seperti dilapor detikJatim.

Nico berkata, 34 orang maut di stadium. Manakala mangsa lain meninggal dunia di hospital semasa proses menyelamat.

Ini merupakan tamparan hebat buat Indonesia dan khususnya dunia bola sepak. Perkara seperti ini turut menggegarkan England pada 1989 dalam tragedi Hillsborough.

Insiden itu mengakibatkan 96 orang maut, kesemuanya penyokong Liverpool. Jumlah kematian dicatatkan sebagai jumlah tertinggi dalam sejarah bola sepak Britain.

95 orang maut dalam kejadian itu. Seorang lagi meninggal dunia selepas menerima rawatan, meningkatkan jumlah mangsa kepada 96 orang.

89 daripadanya adalah lelaki dan 7 perempuan. Berdasarkan umur, kebanyakannya berumur bawah 30 tahun dan 13 orang berumur bawah 20 tahun. Mangsa termuda ialah lelaki berumur 10 tahun.

Setelah menunggu berpuluh tahun, titik punca tragedi itu terjawab. Berdasarkan hasil siasatan menyatakan bahawa kecuaian adalah di pihak polis. Ini membuatkan bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron turut memohon maaf kepada keluarga mangsa.