PENYERANG import Kuala Lumpur City FC, Tchetche Kipre kadang kala rindukan masakan tradisional Terengganu seperti keropok tetapi dia perlu membiasakan dirinya dengan persekitaran sebagai pemain bola sepak professional.

Dia yang sebelum ini bermain di Terengganu dan Kedah yang mempunyai sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding Kuala Lumpur gembira melihat rakan-rakannya meraikan Hari Raya bersama keluarga dan dia sudah pun mendapat beberapa undangan rumah terbuka.

“Saya gembira melihat rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri. Di sini mereka berkumpul dan makan bersama-sama dengan keluarga pada pagi Syawal. Saya tidak ketinggalan untuk turut meraikan kerana ada beberapa rakan yang sudah menjemput saya ke rumah mereka untuk sambutan Hari Raya.

“Ketika saya di Terengganu dan Kedah, masyarakat di sana lebih suka memasak dan di sana juga mempunyai lebih kepelbagaian dari sudut makanan berbanding di Kuala Lumpur tetapi makanan barat lebih baik di Kuala Lumpur.

“Ada beberapa makanan yang saya rindukan seperti keropok namun sebagai pemain bola sepak saya kena biasakan diri dengan persekitaran dan saya akan membeli makanan itu di kedai berhampiran jika saya inginkannya,”kongsinya kepada

 

Tchetche bukanlah sosok baharu dalam bola sepak Malaysia apabila dia sudah memasuki musim ketujuh beraksi di Liga Super sejak melakukan debut bersama Terengganu FC pada 2017 sebelum menyertai Kedah Darul Aman FC dan kini Kuala Lumpur City FC.

Penyerang berasal dari Ivory Coast ini mempunyai rekod jaringan yang baik bersama Terengganu iaitu dengan 42 gol dari 65 penampilan dan menjaringkan 17 gol dari 32 perlawanan dan kini sudah menemui jaring sebanyak dua kali dari empat penampilan dengan The City Boys.