TEKA-TEKI siapa yang bakal dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk ke Sukan Olimpik 2024 menggunakan tiket wild card dijangka diumumkan dalam jangka waktu terdekat.
Ini berikutan badan induk sukan olahraga negara itu, telah bermesyuarat bagi memilih antara dua calon terbaik olahraga negara iaitu pelari 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Fahmi mahupun pelari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.
Menerusi laman Facebook KOM, Ahli Jawatankuasa Pemilihan Atlet persatuan itu, telah bermesyuarat yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.
KOM dijangka tidak akan melanjutkan pengumuman mengenai wakilnya ke Paris terutamanya selepas membuat penafian terhadap satu akan ‘X’ yang mendakwa Azeem secara rasmi dipilih badan induk sukan olahraga itu.
“Jangan cuba mengelirukan peminat sukan Olahraga Malaysia. Belum ada keputusan rasmi dari pihak Kesatuan Olahraga Malaysia,” hantaran KOM di laman Facebooknya semalam.
Selain mesyuarat melibatkan jawatankuasa pemilihan atlet, dua jaguh kebangsaan, Azeem dan Shereen diiringi Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard, telah menemui Shahidan di pejabatnya semalam.
Pertemuan itu dipercayai bagi mendapatkan pandangan, ataupun memberi penjelasan mengenai kriteria pemilihan yang dibuat KOM.
Untuk rekod, Azeem kini memegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki dengan catatan 10.09 saat (s), manakala Shereen memegang rekod kebangsaan 400m wanita dengan catatan 51.79s.