JAWATANKUASA Road to Gold (RTG) akan menanti dengan penuh sabar dan memberi masa sebaik mungkin untuk jaguh perseorangan badminton, Lee Zii Jia berhubung dengan jawatankuasa itu mahupun memikirkan keputusan sebelum bersetuju untuk terus berada dalam program yang menjadi platform buat atlet negara memburu pingat emas Olimpik pertama buat negara.
Pengurus pasukan badminton dalam RTG, Datuk Lee Chong Wei berkata, Koordinator Jawatankuasa RTG Datuk Stuart Ramalingam memantau rapat perkembangan itu, selepas Zii Jia menjadi satu-satunya daripada 15 atlet dalam senarai terkini RTG, belum menandatangani pembaharuan persetujuan komitmen.
“Masih ada tempoh dua minggu dan Stuart akan hubunginya lagi… kita faham mungkin disebabkan dia menyertai banyak kejohanan dan mungkin belum balik.
“Apapun setiap atlet perlu menandatanganinya kerana jawatankuasa ini juga ada peraturan yang perlu setiap atlet akur,” kata Chong Wei.
Begitupun, ketika ditanya mengenai akibat sekiranya Zii Jia masih belum menandatangani persetujuan komitmen untuk berada dalam RTG, Chong Wei berkata, “Kita akan serahkan dan rujuk semula kepada jawatankuasa.
“Mereka akan menentukan apa yang perlu kerana jawatankuasa ini bukan jawatankuasa saya atau siapa-siapa tetapi jawtankuasa RTG. Nanti akan ada lagi mesyuarat RTG dan kita akan lihat perkembangan seterusnya.”
Dalam sidang media selepas mesyuarat bilangan ketiga jawatankuasa RTG semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan semua 14 atlet sudah menandatangani dan jawatankuasa itu hanya menunggu persetujuan Zii Jia yang diberi masa sehingga 14 November ini.
Setiap kitaran semakan RTG, atlet perlu menandatangani persetujuan komitmen, untuk mereka layak berada dalam program dan mendapat manfaatnya.