JABATAN Belia dan Sukan Bahagian Sandakan menyahut seruan kerajaan untuk menyambut Hari Belia Negara dengan mengadakan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah, baru-baru ini.

Untuk pertama kalinya, hari tersebut diraikan di Daerah Kecil Paitan dengan kerjasama Kelab Belia Kampung Tanjung Nipis Paitan Belia (Belia TNP) yang menjadi penyelaras untuk program tersebut.

Satu usaha yang wajar dipuji apabila program yang diadakan mendapat sambutan dengan disertai oleh 12 pasukan dan kira-kira 150 orang belia melibatkan diri secara langsung.

Menurut perkongsian di laman Facebook Jabatan Belia Dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, kejohanan yang diadakan bukan sahaja menarik minat anak muda malah penduduk dan masyarakat di sekitar Paitan turut hadir meraikan sambutan Hari Belia Negara tahun ini.

Selain daripada mewujudkan semangat berdaya saing dalam kalangan belia, dengan adanya program seperti itu juga dapat menggalakkan belia untuk terus bergiat aktif dalam sukan sekaligus menjadikan gaya hidup sihat sebagai satu amalan.

Dalam masa yang sama, ianya juga dapat memberi impak yang positif terhadap ekonomi peniaga-peniaga yang berniaga sepanjang kejohanan tersebut diadakan.

Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah dirasmikan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N48, Sugut, YB Tuan Jalil Atang. Turut hadir, wakil dari Jabatan Belia dan Sukan Sandakan, Tuan Jius, Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah Daerah Beluran, Tuan Abdul Isming Nazri, Wakil Parlimen Beluran, Tuan Hamdan Tarawih, dan Pengerusi Kelab Belia Kampung Tanjung Nipis Paitan, Alias Wan Jailani.