PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad mengakui gembira dengan dua jaringannya ketika membantu Harimau Selatan membelasah Perak FC 8-1 dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia sekali gus layak ke final dengan agregat 12-2.

Namun begitu dia masih tidak berpuas hati kerana sedar dia masih perlu berikan lebih lagi kerana persaingan posisinya di kelab itu sangat hebat namun menganggap persaingan itu adalah sesuatu yang baik untuk dirinya.

Penyerang kelahiran Pulau Pinang itu juga menjelaskan bahawa setiap sesi latihan dan permainan di JDT adalah penting kerana JDT adalah sebuah tempat yang serius dan bukannya untuk bersuka ria.

“Syukur sebab saya dapat jaringkan gol dan bantu pasukan layak ke final Piala Malaysia tahun ini tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan dua gol ini kerana di JDT, posisi saya ini persaingan sangat sengit tetapi setiap kali saya diberikan peluang saya akan buat yang terbaik untuk pasukan.

“Di JDT ini, setiap pemain perlu bersedia diturunkan dan akan berikan yang terbaik apabila diberikan peluang kerana di sini bukanlah tempat untuk main-main tetapi disini adalah tempat yang serius dan setiap pemain akan buktikan sesuatu.

“Apa yang pasti, setiap latihan dan peluang bermain akan digunakan sebaik mungkin kerana setiap pemain ingin buktikan mereka layak bermain di sini kerana cabaran di JDT adalah semua pemain di sini adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Syafiq juga tidak kisah siapa lawan mereka di final sama ada Terengganu FC ataupun Kuala Lumpur City FC sebaliknya hanya fokus kepada kekuatan pasukan sendiri selain memastikan mereka sentiasa bersedia untuk diturunkan.

“Tidak kisah siapa pun kami jumpa di final dan kita akan berikan 100 peratus dalam perlawanan akhir nanti kerana kekuatan JDT seperti sebelum ini adalah setiap individu akan berikan yang terbaik mengikut arahan taktikal dan ini adalah kekuatan kami sebagai Keluarga JDT,” jelasnya.

Aksinya dalam perlawanan itu turut mendapat pujian ketua jurulatihnya, Esteban Solari yang mahu melihat Syafiq dipilih dalam panggilan ke skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 November ini dan Syafiq sendiri bersedia sekiranya diberikan peluang namun segalanya bergantung pada Ketua Jurulatih Kebangsaan.

“Panggilan ke skuad kebangsaan adalah bergantung kepada jurulatih dan jika diberikan peluang saya akan berikan yang terbaik dan tidak akan sia-siakan peluang. Saya ingin membantu pasukan kebangsaan dan terpulang pada jurulatih untuk menilai diri setiap pemain,” jelasnya.

Syafiq yang dibawa masuk pada minit ke-60 tidak menunggu lama untuk kembali menjaringkan gol buat JDT dengan dua gol pada minit ke-62 dan 77 sekali gus membuktikan dia masih tajam di depan gawang dan sesuai dipanggil ke skuad Harimau Malaya.