PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menjelaskan untuk musim 2023, Harimau Selatan akan menjadi pasukan bukan pilihan dan lebih selesa bergelar pasukan ‘underdog’.

Ini kerana menurut Tunku Ismail, JDT tidak akan melabur dalam mendapatkan pemain baharu sedangkan banyak pasukan yang lain sedang melakukan penambahbaikan pasukan untuk menghadapi musim hadapan.

Baginda yang ditemui selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim itu turut menyatakan bahawa rekod baik JDT pada musim ini tidak mampu untuk dilakukan sekali lagi kerana ianya tampak sukar.

Tunku Ismail ketika pertemuan singkat bersama wakil media.

“Saya menganggap pada tahun 2023 ini, JDT adalah underdog kerana kami tidak melaburkan wang dan JDT bukanlah pasukan yang akan dicabar kerana kami lebih selesa untuk menjadi pasukan bukan pilihan ataupun underdog.

“10 tahun saya dalam industri bola sepak dan pada saya ini adalah kejayaan paling bermakna kerana kami menang banyak piala daripada pasukan bawah 12 tahun hinggalah ke pasukan utama dengan 35 perlawanan domestik tanpa kalah.

“Bagi saya ini adalah kejayaan yang paling hebat dalam karier saya di dalam industri bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan saya rasa perkara ini takkan boleh dimenangi lagi. Saya yakin 100 peratus tetapi kalau boleh pencapaian ini diulangi ianya sangat bagus tetapi saya sedar ianya sangat sukar,” kata Baginda.

JDT muncul juara Piala Malaysia

Untuk musim 2022 ini, JDT menyapu bersih kesemua trofi domestik dengan menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia dengan rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang musim dalam semua kejuaraan yang dipertandingkan.

Pada pertemuan singkat dengan media itu juga, Tunku Ismail sempat berseloroh mengatakan dia tidak kenal siapa Syihan Hazmi selepas ditanya adakah penjaga gol Negeri Sembilan itu bakal menyertai Harimau Selatan musim hadapan.