JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah demi sejarah dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bakal menjadi saksi satu lagi sejarah dilakar apabila JDT dijulang sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut sejak 2014.
Tambah menarik, ini adalah kejayaan seumpamanya dalam sejarah bola sepak Malaysia sekali gus menunjukkan dominasi penuh Harimau Selatan dalam Liga Malaysia sejak kelab ini ditubuhkan pada 2013.
Hanya satu mata ke atas PDRM FC sudah cukup untuk memastikan JDT menjulang trofi yang diidamkan setiap pasukan ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan seterusnya memastikan JDT sekali lagi mewakili Malaysia dalam Liga Juara-Juara AFC musim hadapan.
Kejayaan muncul juara sepuluh kali berturut-turut ini juga bukanlah tugas yang mudah untuk dilakukan kerana semua sedia maklum mempertahankan kejuaraan itu adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan dalam mana-mana jenis sukan dan pertandingan.
Rekod 10 kejuaraan ini juga sudah pasti akan bertahan lama dalam lipatan sejarah kerana bukan mudah untuk pasukan lain mencabar rekod ini tatkala JDT semakin bergerak ke hadapan dari musim ke musim.
Ini semua adalah hasil usaha keras pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak pernah berhenti berinovasi dan membawa perubahan dalam kelab dengan memberikan fasiliti yang terbaik buat para pemain terbaik yang dikumpulkan di Iskandar Puteri.
JDT juga sedang beraksi dalam Kejohanan Liga Juara-Juara AFC dan kejayaan layak ke peringkat 16 terbaik musim lepas menyebabkan Tunku Ismail semakin percaya dengan kemampuan kelabnya di Asia.
Tanpa tewas dalam 22 perlawanan dan berbaki empat perlawanan, JDT dilihat mungkin dapat mengekalkan rekod tanpa kalah, rekod jaringan terbanyak dalam liga dan rekod bolos paling sedikit sekaligus memberikan gelaran ‘untouchable‘ sekali lagi buat Harimau Selatan.