KELAB Johor DarulL Ta’zim (JDT) tidak pernah berhenti melakukan pembaharuan dan penambahbaikan untuk memastikan pengunjung ke Stadium Sultan Ibrahim berada dalam keadaan selesa dan mempunyai banyak pilihan aktiviti ketika menjejakkan kaki ke stadium yang canggih itu.

Stadium Sultan Ibrahim milik penuh JDT itu kini bukan sahaja menjadi gelanggang rasmi Harimau Selatan untuk perlawanan bola sepak malah ianya sudah menjadi salah satu tarikan pelancongan buat pengunjung ke negeri Johor khususnya di daerah Iskandar Puteri.

Ianya bukan sahaja dibuka kepada umum untuk lawatan secara percuma malah stadium itu turut menyediakan kemudahan tiga restoran, lawatan berkenderaan mengelilingi stadium selain kedai cenderahati milik penyokong, Boys of Straits.

 

Terkini, JDT bakal membuka kedai cenderahati rasmi kelab dan ianya akan dibuka kepada awam pada hari perlawanan dan juga ketika bukan hari perlawanan yang mana ianya pasti akan menjadi daya penarik baharu pengunjung ke stadium ini.

Bukan sahaja menjadi daya penarik malah ianya akan menjana sumber pendapatan buat kelab apabila pengunjung yang hadir sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk membeli cenderahati rasmi kelab juara Liga Super Malaysia sembilan kali berturut-turut itu.

Mengenali JDT, ianya pasti tidak akan berhenti di sini sahaja apabila pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menulis sendiri di ruangan komen Instagram rasmi kelab dengan mengatakan akan ada banyak lagi perkara baharu untuk Keluarga JDT.

More to come“. Asyik ‘more to come‘ aja JDT ni. Ada aja benda baru. Untukmu Keluarga JDT ku,” tulis hantaran itu.

Dengan keadaan stadium yang bersih serta mempunyai tempat letak kenderaan yang luas, sudah tentu pengunjung akan merasai suasana lawatan yang memuaskan sambil membeli belah dan menjamu selera serta pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan.