JOHOR Darul Ta’zim (JDT) yang mencipta sejarah kelab dan negara apabila layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) akan terbang ke Saitama, Jepun untuk menghadapi Urawa Red Diamonds.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Jepun menjadi tuan rumah berpusat dengan Stadium Saitama 2022 bakal menjadi gelanggang semua aksi hingga ke perlawanan akhir nanti.

“AFC hari ini mengesahkan bahawa Japan Football Association (JFA) akan menjadi tuan rumah berpusat untuk Pusingan 16 Terbaik, Suku Akhir dan Separuh Akhir Liga Juara-Juara AFC.

“Seperti mana perkara yang telah disahkan pada 13 Januari 2022, Pusingan 16 Terbaik ACL (Timur) akan berlangsung pada 18 dan 19 Ogos, suku akhir pada 22 Ogos dan Separuh Akhir pada 25 Ogos dengan hanya satu pusingan perlawanan.

“Saitama, Jepun akan menjadi gelanggang untuk pertembungan Pusingan 16 Terbaik dengan Daegu FC akan berhadapan juara 2006 dan 2016, Jeonbuk Hyundai Motors manakala BG Pathum United berentap dengan Kitchee SC diikuti oleh Vissel Kobe menentang Yokohama F Marinos sebelum pencipta sejarah Johor Darul Ta’zim bertemu juara dua kali ACL Urawa Red Diamonds.

“Sementara itu Pusingan Kalah Mati Liga Juara-Juara AFC (Barat) dijadualkan pada 3-10 Februari 2023 dengan venue berpusat akan ditentukan kemudian sebelum final pada 19 dan 26 Februari 2023,” jelas kenyataan media AFC pada Isnin.

JDT layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC selepas berjaya muncul juara Kumpulan I mengenepikan cabaran Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou Evergrande.