ARENA futsal tanah air bakal bertambah rancak musim hadapan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan akan menubuhkan JDT Futsal bermula musim hadapan.

Berdasarkan hantaran di laman sosial rasmi kelab, JDT juga bakal menubuhkan jabatan futsal untuk memastikan skuad futsal Harimau Selatan berada pada tahap tertinggi.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membentuk satu pasukan futsal pada tahun 2023. Satu jabatan futsal akan ditubuhkan di JDT terdiri dari kakitangan teknikal dan para pemain khusus bagi memastikan futsal Harimau Selatan berada pada tahap yang tertinggi,” tulis kenyataan itu.

 

Sebelum ini ramai penggemar sukan futsal ternanti-nanti kewujudan pasukan futsal dari selatan tanah air ini dan kini JDT bakal mewarnai Liga Futsal Kebangsaan dan berkemungkinan menggegar arena futsal tanah air.