EKONOMI setempat dapat dijana menerusi satu perlawanan bola sepak yang berskala tinggi di mana keterujaan para penyokong hadir ke stadium banyak membantu sudut kewangan pasukan dan juga peniaga jalanan tempatan.
Kehadiran Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Sabah FC untuk perlawanan tumpuan minggu ini dilihat banyak memberikan impak positif kepada ekonomi setempat khususnya di Kota Kinabalu pada aksi Liga Super di Stadium Likas pada Jumaat.
Ini kerana sejak dari dahulu, setiap kali JDT hadir, pastinya akan memberikan kegembiraan kepada para penyokong sekaligus janaan ekonomi yang menggalakkan dan suasana yang cukup meriah dengan warna warni stadium yang penuh.
Kantong Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) juga lebat apabila semua tiket habis dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ kerana semua mata tertumpu kepada aksi penentuan tangga teratas Liga Super yang dinanti-nantikan.
Selepas berjaya mencipta rekod kehadiran buat pasukan lawan ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka, kini giliran Sabah pula menerima tempias populariti JDT yang kini bergelar kelab nombor satu Asean.
Dengan jangkaan kehadiran hampir 30,000 penyokong, ianya pasti akan membantu jualan peniaga-peniaga kecil yang berjualan di sekeliling stadium kerana ramai yang akan cuba mendapatkan cenderahati kenangan, makanan dan juga minuman.
Jualan jersi dan baju rasmi kelab juga sudah semestinya akan menjadi tumpuan para penyokong yang turut mahu berada dalam sejarah pertemuan hebat ini walaupun sekadar menyaksikan di skrin gergasi yang disediakan oleh pihak penganjur.
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan perniagaan hotel dan inap sewa akan meningkat kerana pasti ada penyokong Sabah yang datang dari luar Kota Kinabalu ditambah pula penyokong JDT yang turut serta memeriahkan suasana.
Tidak dilupakan juga buat mereka yang bergiat dalam ekonomi gig seperti e-hailing dan penghantaran makanan yang turut mendapat tempias rezeki dari perlawanan berimpak besar seperti ini.
Ada penyokong yang hadir hanya mahu menyaksikan pasukan mereka beraksi bersama-sama pasukan yang sudah layak ke peringkat 16 terbaik Asia dan mahu menyaksikan pemain JDT di hadapan mata sendiri.
Namun ada juga mahu menyaksikan JDT tewas kerana semua tahu bukan mudah hendak menewaskan JDT dan siapa yang mampu melakukannya akan mempunyai ‘bragging rights’ dan menjadi kebanggaan para penyokong.
Apa pun yang diharapkan, JDT berjaya membantu ekonomi setempat dan diharap juga penyokong tuan rumah dapat mengekalkan konsistensi hadir ke stadium kerana ianya adalah satu janaan ekonomi yang baik buat kelab dan juga negeri.