KEMENANGAN ke-19 dalam Liga Super yang dicipta Johor Darul Ta’zim (JDT) keatas Sabah FC pada Rabu semakin menghampirkan pasukan itu untuk kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut.

Namun bagi pengendali JDT, Esteban Solari dia masih mengekalkan pendiriannya apabila enggan terlalu memikirkan kejuaraan liga sebaliknya lebih terarah memberi fokus satu demi satu perlawanan yang beliau anggap semakin mencabar dengan saingan berbaki tujuh perlawanan.

Malah Solari juga menyifatkan aksi seterusnya bertemu Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad sebagai satu pertembungan sukar buat barisan pemainnya apabila menentang barisan pemain muda yang mula menunjukkan peningkatan.

Esteban Solari

“Kami masih belum fikirkan untuk buru kejuaraan liga walaupun sememangnya itu sasaran yang diletak kerana masih ada beberapa perlawanan lagi yang perlu kami tempuhi dan biar kami fokus satu demi satu perlawanan yang mendatang.

“Berdepan Perak sudah tentu ia perlawanan sukar memandangkan pasukan itu sudah mula mempamerkan kebangkitan selepas menang ke atas Kedah 3-1 dalam saingan Piala Malaysia dan momentum itu diteruskan apabila menang ke atas Penang dengan jaringan yang sama.

“Jadi kami harus meningkatkan lagi disiplin taktikal dan mengekalkan permainan berintensiti tinggi malah apa jua kelemahan yang dikesan akan segera diperkemaskan dan pemain juga perlu mengelak daripada beraksi dalam tekanan kerana ia boleh menjejaskan rentak permainan,” kata Solari.

JDT dilihat tidak terkesan meskipun tanpa tonggak utama seperti Fernando Forestieri, Diogo Luis Santo dan Leandro Velazquez yang mengalami kecederaan dengan Solari berjaya mengambil kesempatan ‘squad depth’ Harimau Selatan untuk membuat perubahan di posisi tengah

Gandingan Juan Muniz bersama Hong Wan dan Oscar Arribas dilihat berjaya membentuk persefahaman yang menarik ditambah kehadiran Heberty Fernandes di bahagian serangan yang mampu mengelirukan barisan pertahanan lawan.

Kejayaan mengekalkan aksi dan intensiti yang sama meskipun tanpa beberapa tonggak membuktikan Solari mempunyai sentuhan cemerlang dan aksi menentang skuad kendalian Yusri Che Lah dijangka menjelmakan kemenangan ke-20 buat JDT.