PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjulang trofi Piala Futsal Malaysia (MFC) 2024 selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 3-2 sebentar tadi.

Pada aksi final di Axiata Arena itu, kedua-dua pasukan telah mempamerkan saingan cukup kompetitif dengan saling berbalas serangan.

JDT mula mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan awang import Bruno Taffy Nogueira sebelum pasukan Selangor FC menyamakan kedudukan hasil ledakan Syahir Iqbal Khan dengan saingan 1-1.

Keputusan separuh masa pertama berakhir dengan masing-masing terikat keputusan seri dan bersambung babak kedua, Selangor FC tampil pergerakan lebih agresif daripada sebelumnya.

Aksi final antara JDT dan Selangor FC.

Namun ia tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan JDT, Mohd Firdaus Ambiah meledak gol pada minit ke-26 perlawanan, menumbangkan penjaga gol Selangor iaitu Syawal Sabaruddin.

Detik bermakna buat skuad JDT apabila Mohd Azwann Ismail berhasil mencari peluang untuk meledak jaringan pada minit ke-33 sekali gus meletakkan skuadnya di kedudukan selesa, 3-1.

Selangor FC tidak terus mengalah dan seterusnya satu rembatan daripada Aidil Shahril Rosli pada minit ke-34 berjaya membolosi gawang gol JDT tanpa disedari.

Keputusan 3-2 berakhir di Axiata Arena dan menyaksikan JDT menjulang trofi pertama pada saingan Piala Futsal Malaysia musim ini, setelah mengalahkan naib juara musim lalu, Selangor FC.