PENYERANG sensasi negara, Safee Sali telah mengumumkan persaraan minggu lalu dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk penyokong bola sepak tempatan dan juga antarabangsa terutamanya di Indonesia.
Safee pernah mewakili berapa pasukan di Liga Malaysia dan pada Jumaat, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengadakan satu majlis penghormatan buat Safee dan mengangkatnya sebagai salah seorang legenda Harimau Selatan.
Majlis yang diadakan sebelum sepak mula perlawanan Piala Sumbangsih itu menyaksikan Safee masuk ke tengah padang sambil disambut tepukan gemuruh serta sorakan daripada hampir 32,000 penyokong yang hadir.
Tidak cukup dengan itu, laungan ‘Super Safee’ turut bergema oleh Boys of Straits yang turut menyaksikan Safee sendiri membuat tunduk hormat sambil mengambil ‘mafla’ yang diberikan opeh penyokong setia JDT itu yang menjadi kelab dia menyumbang keringat dari 2013 hingga 2016.
Laman sosial rasmi kelab juga turut memuat naik hantaran terima kasih kepada Safee sebagai tanda penghargaan kepada salah seorang penyerang terbaik yang pernah lahir di Malaysia.
Di JDT, Safee berjaya memenangi tiga kejuaraan Liga Super, satu Piala FA, dua Piala Sumbangsih dan kejuaraan Piala AFC yang berprestij pada 2015 yang mana dia adalah antara tonggak yang membawa Harimau Selatan ke final sebelum muncul juara.