PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino mengumumkan perubahan Piala Dunia Kelab Fifa bermula 2025  seperti format Piala Dunia yang bakal menampilkan 32 kelab dari seluruh dunia.

Kelab-kelab dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bakal mendapat empat slot menerusi slot juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan satu slot ranking kelab terbaik dalam kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun hingga Julai 2025.

Tiga slot telah ditentukan menerusi juara ACL musim 2021, 2022, Al Hilal dan Urawa Red Diamond serta juara musim 2023-24 yang akan ditentukan pada Mei 2024 serta 12 kelab dari UEFA, 4 dari CAF, 4 dari CONCACAF, 6 dari CONMEBAL dan 1 dari OCF serta 1 slot tuan rumah yang akan ditentukan kelak.

Satu lagi slot AFC yang bakal ditentukan adalah menerusi ranking empat tahun Fifa dengan 12 kelab tertinggi dalam ranking terbaik dan wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) tersenarai di tangga ke-11 dengan 38 mata.

Jumlah 38 mata itu adalah mata terkumpul yang diperolehi JDT sepanjang penglibatan mereka di kejohanan Asia dengan tiga mata diperolehi untuk setiap kemenangan, satu mata untuk setiap keputusan seri dan tiga mata untuk kelayakan ke peringkat seterusnya.

JDT tidak mungkin dapat beraksi di Piala Dunia Kelab Fifa 2025 kerana sudah tidak mampu menambah mata ranking kerana sudah tersingkir dari Liga Juara-Juara AFC musim ini dan akan menyambung perjuangan di Asia dalam Liga Juara-Juara AFC Elite musim hadapan.