PENGENDALI Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata gembira dengan kemenangan Harimau Selatan ke atas gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC.

Jurulatih kelahiran Mexico berusia 43 tahun itu mahu pemain-pemainnya meraikan kemenangan malam ini sebelum kembali fokus kepada aksi perlawanan ketiga bertemu Kawasaki Frontale.

“Apa yang penting sekarang adalah kami perlu menikmati kemenangan ini. Ianya umpama perlawanan akhir buat kami. JDT bukanlah gergasi di ACL dan juga bukanlah gergasi di Asia.

“Kami cuba lakukan yang terbaik dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain sangat besar dan percaya boleh lakukannya dan mampu mencipta sebarang kemungkinan. Kami menyerap tekanan sebelum kami kembali untuk gol kedua,”ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.

Ditanya tentang perancangannya menjelang pertemuan dengan Kawasaki Frontale, Mora dengan tenang memberikan respon bahawa mereka perlu lakukan yang terbaik pada setiap perlawanan.

“Apa yang jelas sekarang adalah masa untuk kami raikan dan esok adalah hari pemulihan dan kemudiannya kami akan cuba lakukan yang terbaik pada perlawanan seterusnya.”

Dengan, kemenangan ini, JDT kini di tangga teratas Kumpulan I dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dan akan bertemu Kawasaki Frontale (dua kali) pada 21 dan 24 April ini.