JOHOR Darul Ta’zim (JDT) FC membuktikan kualiti mereka yang berbeza apabila mudah membenam cabaran pendatang baharu Liga Super, Kelantan FC 5-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang itu mendapat perhatian penyokong setia JDT dengan lebih 24,000 hadir ke stadium bersama-sama keluarga bagi menyokong skuad kendalian Esteban Solari.

JDT hanya memerlukan tiga minit untuk berada di depan selepas Diogo Luis Santo menyambung sepakan penalti Fernando Forestieri yang ditepis penjaga gol Kelantan selepas Arif Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti.

 

Selepas gol itu, Harimau Selatan menambah serangan ke arah kubu Kelantan dan akhirnya kembali roboh apabila Endrick Dos Santos berjaya menjaringkan gol ketiga dalam tiga penampilan untuk menggandakan kelebihan JDT.

Tidak cukup dengan itu, 10 minit sebelum tamat babak pertama, Diogo menambah derita The Red Warriors dengan gol ketiga untuk kedudukan memihak kepada JDT dengan keputusan 3-0.

Babak kedua terus menyaksikan JDT menyerang bertubi-tubi ke kubu Kelantan dan Juan Muniz menambah satu lagi gol menerusi percubaan jarak jauh untuk gol keempat Harimau Selatan.

Endrick Dos Santos

Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan dengan pemain bawah 20 tahun JDT, Adam Farhan Faizal melakukan debut apabila masuk menggantikan Corbin Ong untuk membantu serangan.

Selepas kebal selama 339 minit akhirnya Syihan Hazmi dibolosi apabila dia menghadiahkan penalti kepada Kelantan yang mudah disempurnakan oleh Leandro Rolon untuk gol pertama Kelantan.

Gol itu nyata tidak menjejaskan rentak JDT apabila masih meneruskan asakan dan akhirnya mendapat gol kelima selepas Arif Aiman menyempurnakan penalti selepas Akhyar Rashid dikasari.

Kedudukan 5-1 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT kekal di tangga teratas liga dengan 12 mata hasil empat kemenangan dari empat perlawanan untuk permulaan yang sempurna musim ini.