JOHOR Darul Ta’zim menjulang Piala FA kali ketiga berturut-turut selepas mencatat sejarah kemenangan terbesar final piala itu setelah berjaya membelasah seteru utama, Selangor 6-1 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Biarpun di awal perlawanan lebih banyak terganggu dengan drama kecederaan pemain, rembatan terus sepakan percuma diambil Juan Muniz pada minit ke-26 mengubah senario di atas padang.
Percubaan terusnya dari kanan padang menerjah jaring menewaskan Sam Somerville yang tewas kali pertama di pintu gol Selangor.
Jaringan JDT itu memanaskan lagi persaingan di atas padang.
Namun usaha Selangor menerusi seranganan balas pantas tidak menjadi, apabila gerakan diatur gagal diterjemahkan barisan penyerang mereka yang gagal bertindak pantas naik ke kawasan Harimau Selatan.
Meskipun The Red Giants cuba menghapuskan defisit jaringan, mereka sekali lagi tersentak pada minit ke-42.
Kali ini giliran Arif Aiman Hanapi mencetak nama selaku penjaring apabila melepaskan tandukan deras, menewaskan Somerville kali kedua di babak pertama.
Kedudukan itu cukup menggembirakan peminat setia dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, dan Harimau Selatan ke bilik persalinan dengan kelebihan yang selesa.
Bersambung babak kedua, Selangor selebih dahulu mencipta peluang namun agak tumpul ketika menyerang.
Alvin Fortes menghidupkan harapan buat Selangor, apabila menjaringkan gol pada minit ke-59, mengubah kedudukan 2-1.
Bagaimanapun berselang tiga minit kemudian, Bergson da Silva menambah kelebihan buat Harimau Selatan selepas Somerville gagal membaca dengan baik arah percubaan penyerang import dari Brazil itu.
Pada minit ke-67, gawang dikawal Somerville bocor kali keempat, kali ini menerusi percubaan Muniz yang menyaksikan penjaga gol berasal dari England itu dikeluarkan dan diganti Azim Al Amin.
Biarpun selesa mendahului 4-1, JDT tampak lebih bersemangat menambah jaringan dan hasilnya pada minit ke-76, kedudukan berubah 5-1 menerusi percubaan Heberty Fernandes.
Tidak cukup dengan itu, Muniz melengkapkan hatrik apabila sepakan percuma diambilnya betu-betul di hadapan kotak penalti Selangor, berjaya menewaskan Azim Al Amin.
Kedudukan 6-1 itu kekal hingga ke wisel penamat.
Kemenangan itu adalah yang terbesar pernah dicatatkan di final Piala FA.