JOHOR Darul Ta’zim (JDT) diletakkan di tangga ke-13 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk ranking Piala Dunia Kelab Fifa 2025 seperti yang diumumkan badan induk bola sepak dunia itu pada Khamis.

Fifa memperkenalkan format baharu Kejohanan Kelab Dunia dengan menggunakan format seperti Piala Dunia yang memberikan lebih slot kepada setiap konfederasi untuk menambah kemeriahan dan meningkatkan nilai komersil pertandingan.

Menurut ranking yang dikeluarkan itu, Harimau Selatan berada di kedudukan kedua Asean dengan BG Pathum United mendahului di tangga kesembilan carta yang diterajui kelab Arab Saudi Al-Hilal.

Secara keseluruhan, JDT mengumpul 38 mata dengan 12 mata pertandingan dan 26 mata perlawanan berdasarkan kiraan tiga mata untuk setiap kemenangan, satu mata untuk keputusan seri dan tiga mata tambahan sekiranya layak ke pusingan seterusnya dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dari musim 2020.

Sebanyak 14 kelab Asean diletakkan dalam ranking ini berdasarkan penglibatan mereka dalam ACL dan JDT muncul satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berada dalam senarai.

Enam kelab mewakili Thailand manakala tiga kelab pula dari Vietnam dan masing-masing dua dari Singapura dan Vietnam untuk melengkapkan 71 kelab yang diletakkan dalam ranking AFC.

JDT di tangga ke-13 AFC dalam ranking Piala Dunia Kelab Fifa

Sebanyak 19 dari 32 kelab telah mengesahkan tempat dalam Piala Dunia Kelab Fifa 2025 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat dengan Asia kini diwakili Al-Hilal dan Urawa Reds dari Jepun serta Ulsan HD dan Jeonbuk Hyundai Motors dari Republik Korea.