KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam perbincangan bersama Pahang Rangers berhubung perpindahan beberapa pemain futsal menjelang musim 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards berkata, Harimau Selatan juga membuat pertanyaan dan sedang berunding dengan Pahang Rangers.
Sesi itu turut melibatkan presiden kelab Tengku Fahad Mua’adzam Shah, untuk mencapai persetujuan.
“Kami menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang memberi bayangan bahawa terdapat salah laku dalam perkara ini kerana JDT telah mengikut saluran yang sepatutnya.
“JDT juga tidak menasihati pemain untuk bertindak dalam apa cara sekalipun,” katanya dalam JDT Futsal.
Baru-baru ini, kelab selatan tanah air itu selesai membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Yazid Kamaruzuan dari Selangor TOT United.
Untuk rekod, pada penampilan musim pertama JDT dalam arena futsal tanah air, Harimau Selatan berjaya muncul naib juara Liga Premier Futsal Malaysia dan Piala Malaysia Futsal.