SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menambah kekuatan pasukan apabila menyambar dua pemenang MPFL 2023 bagi menghadapi kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang dijadualkan bermula pada Februari.
Kehadiran dua pemain itu, Mohd Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap Khairuddin sekaligus menutup desas-desus perpindahan mereka dan perkara ini disahkan menerusi hantaran yang dimuat naik laman sosial rasmi JDT Futsal.
Ridzwan atau senang disapa Iwan itu mempunyai reputasi yang cukup hebat apabila telah mengumpul keseluruhan 50 gol sejak MPFL diperkenalkan pada tahun 2019 selain menjadi tonggak utama ketika membantu Pahang Rangers muncul juara berganda musim lalu.
Pemain kelahiran Tawau, Sabah itu turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Futsal Malaysia 2023 selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan JDT pada perlawanan.
Kelincahan dalam mengatur serangan, kemahiran individu serta bijak menghidu peluang untuk merobek gawang lawan menjadi senjata utama buat Ridzwan yang pastinya amat ditagih skuad futsal JDT dalam usaha mereka menebus kekecewaan dua kali dikecewakan dalam perlawanan akhir pada musim lalu.
Selain Ridzwan, JDT Futsal turut mengumumkan ketibaan Mahadir Harahap yang mempunyai kekuatan fizikal dan menjadi pemain pilihan ketua jurulatih Futsal Kebangsaan, Rakphol Sainetngam ketika membawa cabaran Malaysia pada Kelayakan Piala AFC Futsal di Uzbekistan, tahun lalu.
Kehadiran dua pemain ini dijangka bakal menambah kekuatan pasukan kendalian Juan Antonio Miguel Garcia yang sebelum ini turut membawa masuk dua pemain dari Selangor TOT FC, Yazid Kamaruzuan dan Helio Neto.