SKUAD JDT Futsal yang baharu ditubuhkan tahun ini dilihat sedia menggegar arena futsal tempatan dan menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) yang bakal berlangsung bermula 18 Februari 2023.
Meskipun masih baharu namun JDT Futsal diperkuatkan beberapa pemain dari skuad kebangsaan selain dua pemain import terkemuka dari Brazil Caio Cesar Garcia Rego dan dari Iran Abdul Rahman Sarani.
Tidak cukup dengan itu, Harimau Selatan juga telah melantik jurulatih berpengalaman dari Sepanyol, Juan Antonio Miguel Garcia untuk menambah sengat skuad yang bakal bersaing dalam Kumpulan B MPFL musim ini.
Kehebatan pasukan ini terserlah pada aksi persahabatan pramusim menentang Pahang Rangers apabila bangkit dari ketinggalan 0-4 pada babak pertama untuk mengikat naib juara MPFL 2022 itu dengan keputusan 5-5.
JDT Futsal juga mempunyai rekod pramusim yang cukup baik apabila tidak tewas dalam enam perlawanan dengan seri sekali dan menang lima kali menewaskan ATM 9-3, Kedah 7-0, Pulau Pinang 3-1, Shah Alam City 3-1 dan Kuala Lumpur 4-0.
Penubuhan JDT Futsal dilihat menyamai konsep penubuhan pasukan JDT pada 2013 apabila mereka turut mewujudkan Futsal Piala Futsal Tunku Mahkota Johor 2023 untuk mencari bakat-bakat baharu dari setiap daerah di negeri Johor.
JDT Futsal bakal menggunakan stadium tertutup Arena Larkin yang serba baharu dengan kapasiti 7,000 penonton sebagai gelanggang rasmi mereka untuk musim 2023 ini.
MPFL 2023 akan memulakan cabaran dari 18 Februari 2023 dengan empat pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir sebelum aksi final pada 29 Julai dan 5 Ogos 2023.