SKUAD Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu memikirkan tentang kejuaraan liga meskipun mampu berbuat demikian jika meraih kemenangan ke atas Pahang Rangers dalam aksi Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 di Stadium Sukpa, Kuantan pada Sabtu.

Pengendalinya, Juan Antonio Miguel Garcia menegaskan fokus utama pasukannya ketika ini adalah mencari keputusan positif menentang pasukan kendalian Gerard Casas yang dianggap mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Namun begitu, Juan Antonio percaya anak-anak buahnya mampu melakar keputusan yang baik dengan persiapan yang sudah dilakukan sepanjang minggu.

Barisan kejurulatihan JDT Futsal

“Kami sentiasa percaya dengan idea dan metodologi yang diterapkan dalam pasukan dan persiapan kami berjalan seperti biasa dengan setiap pemain memberikan komitmen pada sesi latihan.

“Saya percaya dengan kemampuan pasukan dan akan fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan meskipun berpeluang muncul juara tetapi fokus kami hanya kepada aksi bertemu Pahang Rangers dahulu.

“Pahang Rangers pastinya akan beraksi dengan baik di Stadium Sukpa dan ini terbukti apabila mereka masih tanpa kalah di sini tetapi itu adalah cabaran yang perlu kami hadapi,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

JDT Futsal mampu bergelar juara MPFL buat kali pertama sekiranya menewaskan Pahang Rangers

Berbaki tiga perlawanan, kemenangan ke atas Pahang Rangers akan memastikan JDT muncul juara MPFL buat kali pertama dan ini pastinya akan menjadi pembakar semangat buat para pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.

Sejak menyertai MPFL pada 2023, JDT bergelar naib juara dalam kejohanan liga dan juga Malaysia Futsal Cup – kedua-dua dibelakang Pahang Rangers dan aksi di Sukpa pada Sabtu akan menjadi satu perlawanan yang menarik.