TAHUN ketiga berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final Piala FA setelah anak buah Hector Bidoglio itu berjaya membenam cabaran Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali gus memperoleh keputusan 3-0.
Tidak dinafikan, ia menjadi aksi separuh akhir kedua yang cukup sukar buat skuad Harimau Selatan itu apabila terpaksa membiarkan keputusan 0-0 terikat pada separuh masa pertama perlawanan walaupun masing-masing sudah bermandi peluh.
Dengan mulanya nafas baharu pada babak kedua, akhirnya ia memberi ruang buat JDT untuk menjaringkan gol pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, menerusi Feroz Baharudin pada minit ke-50 perlawanan.
Dengan jaringan yang terhasil, ia sejurus memberi tekanan buat skuad kendalian Nafuzi Zain untuk memburu jaringan yang lebih demi memastikan peluang mereka masih cerah ke final Piala FA.
Namun, pada minit ke-77 selepas itu, pemain import JDT Bergson Da Silva sekali lagi memberi kehampaan buat KDA FC apabila sepakannya berjaya menumpaskan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz.
Dalam sesi berbalas serangan, JDT bijak mencari ruang untuk jaringan ketiga dan memanfaatkan kecelaruan KDA FC dengan satu cubaan gol oleh Juan Muniz yang tepat memasuki gawang lawan pada minit ke-86.
Beraksi di hadapan 25,112 penonton, pasukan Hijau Kuning itu berharap untuk memecah kebuntuan namun permainan tetap tidak menyebelahi mereka. Penyokong pelawat yang berkunjung ke Johor terpaksa akur kecewa.
Dengan keputusan 3-0 (Agregat 5-1) itu bermakna JDT terus menempah tiket ke pentas final Piala FA 2024 bertemu skuad gergasi Selangor FC kelak.