JOHOR Darul Ta’zim (JDT) hanya akan melepaskan pemain menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 15 Mac dan tidak akan melayan sebarang permintaan perlepasan awal mengikut praktis global berhubung panggilan ke skuad kebangsaan.

Kim Pan-gon sebelum ini menyenaraikan 33 nama untuk dipanggil ke kem latihan pusat menjelang dua aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman di Muscat dan Bukit Jalil bermula 8 Mac 2024.

Menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards yang dimuatnaik di laman sosial rasmi kelab, sembilan pemain JDT – Syihan Hazmi, Matt Davies, Corbin Ong, Endrick Dos Santos, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Junior Eldstal dan Romel Morales hanya akan menyertai kem Harimau Malaya pada 15 Mac.

JDT juga percaya pihak mereka mampu menyediakan pemain dalam keadaan terbaik buat skuad kebangsaan hasil kaedah latihan intensiti tinggi serta kemudahan fasiliti latihan yang bertaraf antarabangsa milik mereka.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim akan mengikuti praktis global berhubung panggilan untuk skuad kebangsaan dengan pengecualian melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan, sekali gus membolehkan pasukan kebangsaan memanggil pemain masing-masing beberapa hari sebelum perlawanan mengikut Kalendar Perlawanan Antarabangsa Fifa.

“Kebanyakan skuad kebangsaan di seluruh dunia hanya memanggil pemain mereka semasa jendela perlawanan yang disediakan oleh Fifa, tetapi JDT telah bersetuju untuk menggunakan budi bicara kami dalam melepaskan pemain tujuh hari sebelum perlawanan pertama.

Senarai 33 pemain yang dipanggil oleh Kim Pan-gon

“Sebagai contoh, jendela Fifa seterusnya adalah dari 18 Mac hingga 26 Mac. Malaysia dijadualkan bermain kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada 22 Mac, dan JDT akan melepaskan pemain kami seawal 15 Mac. Dalam peraturan bola sepak, kelab hanya perlu melepaskan pemain pada 18 Mac.

“Memandangkan sebahagian besar pemain utama skuad Malaysia adalah daripada JDT, kami percaya pemain JDT yang dipanggil ke pasukan kebangsaan akan dapat membina persefahaman dan kecergasan melalui latihan berintensiti tinggi dan kemudahan fasiliti bertaraf dunia kami di Pusat Latihan JDT,” tulis hantaran itu.

Sebelum ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kim Pan-gon sedar akan perkara ini dan menghormati kerjasama yang diberikan oleh semua kelab yang terlibat.

Kim Pan-gon

“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.

“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan.

“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing,” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya ketika Piala Asia 2023 di Qatar

Malaysia akan bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac dengan kemenangan akan menjamin tempat automatik ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027 dan pusingan ketika kelayakan Piala Dunia 2026.