JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menghentikan mimpi indah Perak FC apabila sekali lagi menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk kemenangan 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Perak yang masih segar dengan dua kemenangan berturut-turut ke atas dua jiran utara, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC sebelum ini tidak mempunyai upaya untuk menyaingi kemampuan barisan bintang Harimau Selatan.

JDT sekali lagi membuktikan sesiapa pun mampu menjaringkan gol apabila lima pemain berbeza mencetak nama sebagai penjaring untuk tiga lagi mata dan semakin menghampiri kejuaraan ke-10 Liga Super berturut-turut.

Perak cuba bertahan pada peringkat awal perlawanan tetapi Heberty Fernandes sekali lagi membuktikan dia adalah pembelian yang berbaloi buat JDT dengan gol pertama menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-21.

Berselang enam minit, gawang Perak bocor lagi kali ini menerusi tandukan Matthew Davies yang mengelirukan barisan pertahanan dan penjaga gol Perak T. Shaheeswaran untuk meletakkan JDT 2-0 dihadapan.

Kesilapan Shaheeswaran selepas itu seakan memberikan Bergson Da Silva gol percuma yang mudah menolak bola ke gawang untuk gol ketiga JDT dan ke-93 peribadinya sejak menyertai JDT pada 2021.

Berselang sepuluh minit babak kedua, Harimau Selatan mengukuhkan lagi kedudukan dengan gol keempat hasil jaringan Oscar Arribas selepas dia bijak mengawal bola hantaran jauh Jordi Amat sebelum merembat deras ke gawang Perak.

Tidak cukup dengan itu, pakar rembatan jauh, Juan Muniz menggunakan kesempatan sepakan percuma untuk gol kelima sekaligus mengesahkan kemenangan ke-20 berturut-turut buat JDT.

Kedudukan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT kini hanya menanti keputusan perlawanan antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC pada Isnin untuk mengesahkan kejuaraan ketika berbaki enam perlawanan.