JOHOR Darul Ta’zim  (JDT) bukan sahaja terkenal dengan fasiliti yang bertaraf dunia yang canggih seperti Stadium Sultan Ibrahim tetapi mereka juga bijak menjadikan stadium itu sebagai salah satu destinasi pelancongan wajib apabila melawat Johor Bahru.

Stadium itu bukan sahaja berfungsi sebagai ‘Home of the Southern Tigers’ malah ia menyediakan kemudahan restoran dan juga beberapa ‘spot’ mengambil gambar yang ‘instagrammable‘.

Tidak cukup dengan itu, JDT juga memberi peluang buat pengunjung merasai sendiri kemewahan yang dirasai keluarga Harimau Selatan dengan menaiki kenderaan limosin mewah menerusi ‘JDT Hummer Tour’.

Hummer yang mewah menanti kunjungan pelawat di Stadium Sultan Ibrahim

FLASH SUKAN berpeluang merasai pengalaman ini apabila dibawa berkeliling stadium di dalam limosin mewah umpama video memperkenalkan pemain baharu yang sinonim dengan pusing ’roundabout’ menggunakan limosin.

Servis yang diberikan oleh kakitangan JDT Hummer Tour juga sangat mesra dan pengalaman mewah itu dapat dirasai seawal pintu dibuka hingga tamat lawatan yang ditutup dengan peluang bergambar bersama kenderaan itu.

Dengan bayaran RM30 seorang, pengunjung akan dibawa mengelilingi stadium selama lebih kurang 20 minit sambil menikmati suasana mewah di dalam limosin ditemani lagu-lagu yang rancak dan video sambutan kejuaraan JDT.

Keadaan dalam Hummer yang cukup mewah

Keadaan di dalam limosin ini cukup mewah dan dapat dirasakan kelainan apabila ia mula bergerak mengelilingi stadium dan pengunjung berpeluang melihat sendiri replika bola yang ditandatangani pemain JDT selain suasana umpama berparti dengan kerlipan lampu-lampu.

Hummer Limosin dengan panjang 33 kaki dan berkapasiti maksimum 14 penumpang itu sangat megah dan ianya memberikan peluang buat rakyat marhaen merasa sendiri kehebatan dan kemewahan yang sebelum ini hanya dinikmati golongan atasan.

“Seorang pengunjung yang ditemui, Mohd Zaidi Atan dari Kota Tinggi merasakan pengalaman mengikuti JDT Hummer Tour ini sebagai satu perkara yang menggembirakan dan sesuai untuk seisi keluarga selain harga yang dikenakan juga sangat berpatutan untuk orang ramai.

Mohd Zaidi Atan dan keluarga merasai sendiri pengalaman JDT Hummer Tour

“Saya membawa keluarga untuk merasai suasana stadium dan mencuba sendiri kelebihan mengikuti JDT Hummer Tour ini sebagai pengalaman pertama. Kami merasa seronok dapat menaiki kenderaan yang tidak mampu kami miliki ini dan gembira melihat anak-anak dan isteri tersenyum dapat mengalami pengalaman ini.

“Pengalaman ini sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan sangat berpatutan buat kami golongan B40 ini dan siapa yang berminat boleh cuba sendiri pengalaman terbaik yang hanya ada di Stadium Sultan Ibrahim ini,” katanya.

Jelas disini, jika ada penawaran sudah pasti akan ada permintaan dan JDT membuktikan mereka mampu menjana pendapatan di luar bola sepak dengan menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai tumpuan massa dan menyediakan kemudahan yang boleh dirasai oleh para pengunjung.