JOHOR Darul Ta’zim II mencatat kejuaraan sulung sekaligus menutup tirai saingan Liga Premier apabila tidak akan dipertandingkan lagi bermula musim hadapan.

Pasukan ‘feeder‘ Johor Darul Ta’zim itu berjaya muncul juara buat pertama kali sejak bertanding dalam liga kedua negara ini sembilan tahun yang lalu apabila menewaskan sebuah lagi skuad ‘feeder’ Selangor 2 dengan keputusan 1-0.

JDT II hanya memerlukan satu mata untuk bergelar juara dan jaringan K.Daryl Sham pada awal babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata sekaligus menafikan Kelantan FC yang juga mengintai kejuaraan liga.

Skuad kendalian Mariano Raul Echeverria berada dalam prestasi cemerlang apabila tidak tewas dalam 10 perlawanan terakhir dengan tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri yang melayakkan mereka bergelar juara.

Kejayaan JDT II menjadi juara mengikuti jejak langkah skuad JDT III yang muncul juara Piala Presiden dengan pasukan utama juga hanya selangkah lagi untuk bergelar juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Musim 2022 ini adalah musim yang perlu dilupakan oleh skuad Selangor 2 kendalian Rusdi Suparman apabila hanya berjaya menang empat kali, seri empat kali dan kalah sepuluh kali untuk menduduki tempat kelapan dari 10 pasukan yang bertanding.

Liga Premier tidak akan dipertandingkan lagi bermula musim hadapan apabila digantikan dengan Liga Simpanan yang bakal memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi.