JOHOR Darul Ta’zim (JDT) III mempertahankan gelaran Piala Presiden dimenangi musim lepas selepas menumbangkan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Gonzallo Sanz Zaballos merakam kemenangan mutlak 5-1 secara agregat.
JDT III meledak gol pertama di awal babak kedua menerusi Fergus Tierney m-57 sebelum pemain gantian, Abdul Raziq Abd Rahman ‘membunuh’ sisa perjuangan Negeri Sembilan dengan gol kedua pada penghujung permainan.
Tuan rumah terpaksa bermain dengan kurang seorang pemain apabila Najmuddin Akmal Kamal Akmal dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Usaid Jamal.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dimanfaatkan lawan untuk menembusi gawang JDT III yang dikemudi oleh Zulhilmi Sharani sehingga tamat masa penuh 90 minit.