KETIKA isu kualiti padang baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi bualan banyak pihak, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula rancak menanam rumput baharu jenis Hybrid di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
JDT sentiasa menjadi peneraju dalam segenap bidang bola sepak tempatan dan kali ini menjadikan padang di Stadium Larkin sebagai ujian untuk melihat keberkesanan rumput hybrid itu sebelum penggunaannya diperluaskan ke semua fasiliti milik Harimau Selatan termasuk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, JDT berkongsi keadaan terkini pemasangan padang itu dan ianya akan diuji terlebih dahulu bagi memastikan ianya benar-benar matang dan sesuai digunakan untuk perlawanan bola sepak.
FIRST HYBRID PITCH IN MALAYSIA AT LARKIN STADIUM INSTALLATION UPDATE
A new hybrid pitch is being laid at Johor Darul Ta'zim FC's Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Stadium in Larkin. After analysing the results, the turf will be installed at all JDT facilities.
The hybrid football… pic.twitter.com/iJ2BnuM2yr
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 19, 2023
“Padang jenis hybrid yang baharu sedang dipasang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Larkin. Selepas menganalisa hasilnya, rumput tersebut akan dipasang di kesemua fasiliti milik JDT. Padang hybrid ini akan menjadi satu-satu yang seumpamanya dalam bola sepak Malaysia,” tulis kenyataan itu.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya sangat menitik beratkan kesempurnaan padang kerana menurutnya, bola sepak yang baik dimainkan di atas padang yang baik.
Sebelum ini JDT memperkenalkan rumput jenis Zeon Zoysia yang berdaya tahan di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ianya dikurniakan kepada Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menamatkan penantian padang baharu yang sering menjadi masalah stadium itu sebelum ini.