PENGARAH Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT) Alistair Edwards tampil menjelaskan butiran lanjut mengenai pengumuman yang dilakukan olehTunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai tindakan beliau melepaskan urusan harian JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.
Menurut kenyataannya, TMJ masih kekal sebagai pemilik kelab dan hanya menjaga tiga komponen terbesar kelab dan akan menumpukan perhatian terhadap pentadbiran negeri Johor.
Pengurusan kelab juga berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab. Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kekal sebagai pemilik kelab dengan memegang saham majoriti. DYAM Tunku Ismail akan melepaskan tugas Baginda berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT, namun akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.
“Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Mahkota Johor tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya — yang mana menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.
“Perkembangan terbaru ini juga bermakna Baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang Baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung.
“DYAM Tunku Mahkota Johor telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.
“Kami memahami bahawa Baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan Negeri dan Pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” jelas Alistair menerusi kenyataan media.
Kini jelas bahawa TMJ masih lagi mempunyai kawalan penuh terhadap JDT tetapi beliau hanya mengurangkan penglibatan dalam urusan harian kelab demi memenuhi tugasan beliau sebagai Tunku Mahkota untuk pentadbiran negeri Johor.