JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.
Sebaik wisel babak pertama dibunyikan, Selangor FC dilihat mengawal permainan dengan baik apabila berjaya menyekat tempo permainan JDT.
Peluang Gergasi Merah hadir pada minit ke-3 perlawanan apabila Herlison Caion bijak melorongkan bola kepada Mukhairi Ajmal Mahadi namun rembatannya sedikit tersasar melewati palang gol JDT.
Selang dua minit kemudian, Brendan Gan sekali lagi memiliki peluang menjaringkan gol menerusi situasi bola mati dengan sepakan percuma namun ianya sekali lagi melewati palang gol Harimau Selatan.
Selangor FC terus mengasak ke kubu lawan menerusi larian pantas Herlison Caion namun sepakan ‘chip’ nya sedikit melewati bahagian kiri pintu gol JDT.
Biarpun diasak hebat, JDT berjaya memperoleh tendangan sudut pertama pada minit ke-21 namun masih gagal mencari gol pembukaan.
Minit ke-31, Herlison Caion mempunyai peluang terbaik meletakkan Selangor FC di hadapan namun tandukannya sekali lagi sedikit melepasi palang gol JDT.
Penghujung babak pertama, Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya melakukan hantaran silang kepada Caion namun dia ditarik Matthew Davies sekaligus menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan penyerang kelahiran Brazil itu.
Beberapa minit sebelum tamat babak pertama, penyerang sensasi JDT, Bergson da Silva menggembirakan penyokong Harimau Selatan apabila tandukannya berjaya menerjah jaring sekaligus menjadikan kedudukan terikat 1-1 menuju bilik persalinan.
Sebaik babak kedua bermula, Harimau Selatan mula menampakkan corak permainan garang mereka dan ianya berjaya diterjemahkan menerusi jaringan cantik Fernando Forestieri pada minit ke – 59 meletakkan JDT FC mendahului Selangor FC 2-1.
Kedua-dua pasukan cuba menunjukkan permainan positif namun gol tambahan gagal ditambah yang menyaksikan JDT merangkul gelaran kali ketiga Piala Malaysia dan keseluruhan kejuaraan keempat musim ini.