JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan posisi mereka sebagai kelab terbaik Asia Tenggara dan ke-16 di Asia menerusi ranking dikeluarkan oleh laman Opta Analysts yang dikemaskini pada 11 Mei 2024.
Harimau Selatan berjaya naik 13 anak tangga berbanding bulan lalu dan kini di tangga ke-320 dunia meninggalkan Buriram United di tangga kedua Asean dan ke-572 dunia manakala Bangkok United pula di tangga ketiga Asia Tenggara dan ke-718 dunia.
Sementara ranking Malaysia pula, JDT jauh meninggalkan naib juara Liga Super 2023, Selangor dengan The Red Giants kini di tangga ketujuh Asean dan ke-1,404 dalam ranking kelab dunia.
Empat kelab Malaysia berjaya muncul dalam senarai 20 kelab terbaik Asean dengan Sabah FC memasuki carta di tangga ke-16 manakala Terengganu FC di tangga ke-10.
Kejayaan JDT muncul juara Liga Super 2023 serta mencatat tiga kemenangan dalam Liga Juara-Juara AFC musim lalu membantu skuad milik DYAM Tunku Mahkota Ismail itu untuk terus menjadi Raja Asean dan takhta itu mungkin sukar digugat pada musim ini.
Harimau Selatan kini dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super dan mereka sudah pun memenangi Piala Sumbangsih selepas Selangor FC menarik diri dari perlawanan itu 72 jam sebelum perlawanan berlangsung.
Mata ranking JDT juga dijangka bertambah untuk musim 2024-25 kerana mereka bakal bersaing di peringkat tertinggi kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC Elite yang menampilkan 18 kelab terbaik seluruh Asia.
Peningkatan empat kelab dalam senarai Asean itu juga menunjukkan penglibatan kelab Liga Malaysia di kejohanan Asia banyak membantu pembangunan liga ke-11 terbaik Asia dan angka ini dijangka meningkat selepas lebih banyak kelab bakal bersaing di Asia musim ini.
JDT akan membawa nama Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elite, Selangor FC di Liga Juara-Juara AFC 2 manakala Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC pula akan bersaing di Kejohanan Kelab Asia Shopee Cup 2024-25.