JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi laman sosial rasmi kelab menjelaskan bahawa kelab itu adalah kelab berprestasi tinggi dan semua pemain perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Hector Bidoglio itu turut menamakan Arif Aiman, Nathaniel Hong Wan, Feroz Baharudin, Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad sebagai contoh pemain yang bagus dan berjaya merebut tempat dalam pasukan.
Hector juga menegaskan tujuan mempunyai kumpulan pemain-pemain berkualiti yang ramai adalah untuk memastikan pemain sentiasa berusaha menjadi terbaik dan mengatasi tahap semasa mereka.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) are a high performance club where survival of the fittest is crucial. There is simply no room for complacency.
[1/7] pic.twitter.com/XEBJDiskAO
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 6, 2022
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kelab berprestasi tinggi di mana ‘survival of the fittest’ (keperluan untuk menjadi yang paling cergas) adalah mustahak. Tiada ruang untuk kelekaan.
“Para pemain perlu menyahut cabaran kerana tuntutan adalah tinggi, dari padang latihan hinggalah ke perlawanan yang kami beraksi. Ini hakikat tanpa mengira umur dan pengalaman mereka. Kami teruja melihat ramai pemain tampil dan bersaing antara satu sama lain untuk tersenarai dalam pasukan utama.
“Arif Aiman Hanapi adalah contoh anak muda yang menunjukkan komitmen, keinginan dan prestasi yang terbaik. Hong Wan dan Feroz Baharudin, kedua-duanya pemain berusia 22 tahun telah mengambil peluang yang diberikan pada tahun ini dengan cemerlang. Hong Wan telah memulakan perlawanan sebanyak 16 kali dan beraksi dari bangku simpanan sebanyak 12 kali manakala Feroz pula memulakan perlawanan sebanyak 8 kali selepas mempamerkan aksi cemerlang di JDT II.
“Shahrul Saad merupakan satu lagi contoh. Beliau tidak berada dalam kesebelasan utama sebelum Liga Juara-Juara AFC, tetapi beliau menunjukkan sikap profesionalisma, semangat dan prestasi yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama berbanding pemain luar negara. Hasilnya, beliau telah mencatatkan 34 kali permulaan perlawanan. Syafiq Ahmad turut menunjukkan aksi cemerlang di padang latihan dan menpamerkan aksi yang baik dalam 15 penampilan sejak kembali dari pinjaman.
“Pemain-pemain ini adalah bukti bahawa mereka yang menunjukkan prestasi baik dan komitmen di padang latihan boleh berkembang maju di JDT. Tujuan mempunyai kumpulan pemain-pemain berkualiti yang ramai adalah untuk memastikan pemain sentiasa berusaha menjadi terbaik dan mengatasi tahap semasa mereka.
“Kelab ini menyediakan yang terbaik untuk pemain daripada kebajikan hinggalah ke fasiliti latihan, dan yang selebihnya terpulang kepada mana-mana pemain untuk menyahut cabaran tersebut,” tulis kenyataan rasmi itu.
JDT berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menyapu bersih kesemua trofi domestik yang dipertandingkan dan berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC dalam penampilan terbaik mereka sejak ditubuhkan pada tahun 2013.