PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga pemain warisan Sepanyol-Indonesia, Jordi Amat menganggap keputusannya menyertai JDT adalah keputusan terbaik yang pernah dia lakukan dalam kariernya.

Jordi yang sudah setahun menyarung jersi Harimau Selatan berterima kasih kepada semua yang ada di dalam kelab itu terutamanya kepada pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dirinya menyesuaikan diri dalam suasana dan keadaan di Malaysia.

“Saya sangat gembira. Kami melakukan perkara yang betul dan apa yang perlu dilakukan memastikan gol kami selamat. Saya sangat marah kerana dibolosi menerusi penalti namun ini adalah rekod yang mengagumkan secara keseluruhan kerana kelab ini sangat istimewa. Kami tidak boleh perlahan dan kami mahukan lebih lagi.

“Hadir ke JDT adalah keputusan terbaik. Selepas setahun saya lebih gembira dan berterima kasih kepada kelab atas apa yang telah diberikan dan kerana mereka mempercayai saya. Semua orang bercakap benda baik tentang TMJ kerana dia adalah satu-satunya di Johor.

“Sebagai pemain asing, saya dapat mengadaptasi dengan pantas terima kasih kepada rakan sepasukan dan staf di sini. Semua orang membantu untuk saya melakukan tugas dengan baik,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN.

Pemain berusia 31 tahun itu juga tidak berhadapan masalah untuk digandingkan dengan sesiapa pun di posisi pertahanan tengah JDT dan dia gembira kerana berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan hanya dibolosi sekali setakat 12 perlawanan Liga Super musim ini.

“Saya tidak mempunyai masalah bergandingan dengan sesiapa pun kerana ianya sebab komunikasi. Kami mempunyai komunikasi yang baik dan kami juga berlatih setiap hari dengan gandingan berbeza.

“Tidak kisah sama ada Shahrul, Feroz atau Shane kerana yang penting, kami baik di dalam padang dan luar padang. Ini adalah pasukan yang baik dan kami tidak penat mengejar kemenangan,” tambahnya yang gembira dengan satu lagi ‘clean sheet‘ ketika menewaskan Sri Pahang FC.

Jordi kini akan menumpukan perhatiannya kepada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Penang FC di Iskandar Puteri pada Ahad dan dia sudah bersedia untuk beraksi untuk membantu JDT menghadapi satu lagi ujian penting dihadapan penyokong sendiri.

“Saya 100 peratus bersedia. Sejak dari hari pertama pra musim di Dubai, kami bercakap tentang perkara ini dan kini kami cuba untuk memperbaiki persembahan setiap minggu dan saya gembira dengan semua yang berlaku di kelab ini,” ujarnya lagi.