JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mencatat satu lagi sejarah sejak penubuhan kelab pada 2013 dengan pelancaran JDT Gallery At Toppen di mana para penyokong Harimau Selatan dan bola sepak tempatan kini boleh melawat ke ‘hall of fame’ JDT yang dibuka kepada orang ramai.
Terletak di Pusat Beli Belah Toppen di Tebrau, JDT Gallery At Toppen akan mempamerkan koleksi piala dan sorotan sejarah kelab yang mendominasi bola sepak tempatan dengan muncul juara Liga Super 10 kali berturut-turut selain pelbagai lagi kejayaan lainnya.
Majlis pelancaran yang berlangsung pada 16 November 2023 itu turut dihadiri beberapa pemain JDT seperti Safiq Rahim, Farizal Marlias, Fernando Forestieri, Diogo Luis Santo dan Takahiro Kunimoto di Pusat Beli Belah Toppen.
JDT Gallery At Toppen dibuka setiap hari sehingga hujung Disember di mana galeri ini menyusuri lebih banyak info tentang Harimau Selatan dan pengunjung berpeluang melihat sendiri dengan lebih dekat trofi-trofi yang telah dimenangi.
Selain kejuaraan Liga Super, JDT berjaya memenangi Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih dan trofi terbesar dalam sejarah apabila Harimau Selatan menjulang Piala AFC yang berprestij pada 2015.
Bukan sahaja akan menjadi ‘hall of fame’, JDT Gallery At Toppen juga akan berfungsi sebagai ‘fan clubhouse’ untuk para penyokong berkumpul untuk tontonan beramai-ramai perlawanan melibatkan JDT dan juga kedai barangan cenderahati Harimau Selatan mulai awal 2024.