KEHADIRAN penyokong ke stadium sepanjang 21 perlawanan Liga Super musim ini nyata memberangsangkan dengan purata lebih 6,000 penyokong direkodkan pada setiap perlawanan.

Tarikan permainan yang berkualiti tinggi, jualan pas bermusim dan lawan yang popular menjadi punca utama kehadiran lebih ramai penyokong ke stadium selain perlawanan pada sebelah petang yang juga mendapat sambutan ramai.

Menurut rekod, lima perlawanan dengan kehadiran tertinggi Liga Super berjaya menarik kehadiran 120,355 orang penyokong ke stadium dengan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai senarai dengan empat perlawanan manakala satu lagi aksi melibatkan penyokong Kedah Darul Aman FC.

 

 

Empat perlawanan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim itu berjaya mencatat jumlah kehadiran sebanyak 98,655 penyokong atau secara purata 24,664 orang penyokong.

Aksi pembukaan liga yang juga perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC menyaksikan kehadiran tertinggi sebanyak 31,889 diikuti aksi pada sebelah petang menentang Kelantan FC yang dihadiri seramai 24,404 orang.

Pertembungan dengan seteru utama, Selangor FC pada minggu ke-18 berjaya menarik 22,526 penyokong ke stadium manakala perlawanan bertemu jaguh Borneo, Sabah FC pula disaksikan oleh 19,836 penyokong.

Angka-angka ini jelas membuktikan JDT berjaya menarik penyokong ke stadium secara konsisten menerusi barisan bintang mereka selain hebahan perlawanan menerusi media sosial yang banyak membantu para penyokong merancang perjalanan ke stadium.