KECEMERLANGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kejohanan domestik yang menyaksikan mereka tidak tewas dalam 17 perlawanan Liga Super serta menjuarai Piala FA menyaksikan Harimau Selatan melonjak 126 tangga dalam ranking kelab dunia yang dikeluarkan laman Opta Analyst.

Pada Februari 2023 lalu, JDT berada di tangga 573 dan kini melonjak ke tangga 447 dan kini juga kedua di Asean di belakang Buriram United manakala untuk ranking kelab Asia, JDT kini di tangga ke-31 menurut hantaran di laman sosial rasmi kelab.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menunjukkan peningkatan dalam ranking kelab bola sepak dunia dengan kini berada di tangga ke-447 Dunia, ke-31 Asia dan kedua Asean mengikut data yang dikeluarkan laman Opta Analyst.

“Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia telah itu menunjukkan Harimau Selatan mengumpul 72.7 mata — naik 126 tangga dari tangga ke-573 pada Februari 2023.

“Tiada pasukan lain dari Malaysia yang berada dalam Top 500 malah pasukan lain Liga Malaysia berada di tempat 2,148 dan ke bawah.

Sementara di peringkat Asean, JDT di tangga kedua dibelakang Buriram United yang berada di tangga ke-418 dengan 73.1 mata manakala Harimau Selatan menghuni tangga ke-31 di Asia dengan Al-Ittihad di tangga pertama dengan 83.1 mata,” tulis kenyataan itu.

Tinjauan FLASH SUKAN di laman Opta Analyst juga mendapati JDT mendahului ranking kebangsaan dengan Selangor di tangga kedua, 2,148 mata , Terengganu di tangga ketiga (2,257) manakala naib juara Piala FA 2023, Kuala Lumpur City FC pula di tangga keempat (2,964).

ARTIKEL BERKAITAN: JDT berada ditangga ke-573 dunia