KEMPEN pramusim Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Dubai bukan sahaja sebagai persediaan untuk menghadapi musim Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC musim 2023 tetapi juga meluaskan lagi kuasa mereka dalam peta bola sepak dunia.

Selepas mengadakan pelbagai kolaborasi bersama kelab dari Eropah untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman, kini JDT mengorak langkah baharu dengan mengadakan kolaborasi bersama kelab Timur Tengah, Sharjah FC.

Menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab, JDT mengumumkan kerjasama dengan kelab Liga Pro UAE, Sharjah FC yang menawarkan JDT untuk menggunakan fasiliti latihan mereka secara percuma sepanjang berada di sana.

 

Ini selepas kelab yang berpangkalan di Sharjah itu menerima kunjungan hormat daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika Harimau Selatan sedang menjalani kempen pra musim mereka di Dubai dan Abu Dhabi.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sharjah FC dari Emiriah Arab Bersatu telah bersetuju untuk berkolaborasi selepas kunjungan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor merangkap pemilik JDT ke kelab tersebut ketika latihan pramusim Harimau Selatan yang sedang berlangsung di Dubai.

“Sharjah FC telah menawarkan JDT untuk menggunakan fasiliti latihan mereka secara percuma. Sharjah FC kini berada di tangga kedua Liga Pro UAE. Luaskan Kuasamu Johor,” tulis kenyataan itu.

Menerusi kolaborasi ini, boleh dijangkakan JDT bakal meneruskan kempen pramusim mereka di UAE untuk tahun-tahun mendatang dan memanfaatkan fasiliti canggih yang ada pada Sharjah FC.

Harimau Selatan akan berhadapan jaguh Russia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg pada Khamis dan Isnin sekaligus akan memberikan mereka pendedahan yang berharga menjelang sepak mula Liga Super 2023 menentang Terengganu FC pada 24 Februari 2023.