JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bukan hanya mahu dikenali dalam arena bola sepak sebaliknya mahu meluaskan kuasanya ke beberapa acara sukan lain bagi memastikan jenama terus kukuh sekaligus meningkatkan nilai komersilnya.
Selain bola sepak, jenama JDT dapat dilihat dalam sukan polo, futsal, hoki ais dan tinju sekaligus menyaksikan jenama itu berkembang pesat dalam pelbagai jenis sukan yang memiliki jutaan peminat di seluruh dunia.
Setelah berjaya menjuarai Liga Super Malaysia buat kali kesepuluh berturut-turut, jenama JDT terus diperkukuh kali ini dengan penglibatan dalam sukan permotoran apabila menjalin kerjasama dengan pelumba motosikal negara, Hafiz Syahrin Abdullah.
JDT TO VENTURE INTO MOTORCYCLE RACING!
The Johor Darul Ta'zim (JDT) brand will venture into the sport of motorcycle racing with renowned Malaysian rider Hafizh Syahrin Abdullah @Hafizh_pescao55 from 2024. The JDT Racing Team will start at the Asia Road Racing Championship with… pic.twitter.com/dDoiv09UvJ
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 8, 2023
Menerusi hantaran yang dibuat di laman sosial rasmi kelab, JDT akan menceburkan diri dalam sukan bermotor bermula 2024 dengan mewujudkan JDT Racing Team yang akan berlumba di peringkat Asia terlebih dahulu sebelum ke peringkat antarabangsa.
“Jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menceburi sukan perlumbaan motosikal bersama pelumba terkenal Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mulai 2024. JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.
“Jenama JDT telah pun menceburi bidang futsal, polo, tinju dan hoki ais, dan usaha terbaharu ini disasarkan akan mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa,” tulis kenyataan itu.
Hafizh Syahrin adalah pelumba Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang berlumba di Kejohanan Motosikal Dunia Kelas MotoGP pada 2018 hingga 2019 dan kini sedang bersaing di Kejohanan Superbike Dunia sejak 2022.
Menerusi kerjasama ini, logo JDT akan dibawa ke seluruh trek di Asia sekaligus meningkatkan lagi ‘eye balls’ kepada jenama JDT yang pasti akan menarik lebih banyak kerjasama dari pelbagai syarikat tempatan mahupun antarabangsa.