FOTO : JOHOR Southern Tigers
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super apabila menjadikan Kedah Darul Aman (KDA) FC mangsa kelapan selepas membelasah lawan 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Harimau Selatan tidak menunjukkan belas kasihan kepada Kedah apabila tampil dominan sepanjang babak pertama. Amaran awal hadir menerusi dua serangan berbahaya bermula m-10 apabila Bergson Da Silva melepaskan percubaan ke kubu pelawat.
Kemudian, tempoh tujuh minit menyaksikan deretan peluang keemasan JDT bermula dengan rembatan jarak jauh Juan Muniz sedikit tersasar sebelah kiri gawang Kedah m-16 diikuti Fernando Forestieri yang melepaskan tembakan bebas (19).
Pintu gol KDA FC akhirnya bocor apabila Forestieri menjaringkan gol ketujuh peribadinya musim ini yang menanduk masuk berpunca daripada sepakan penjuru m-23.
Satu-satunya peluang terbaik dimiliki Kedah tetapi sepakan Willian Lira hanya sedikit sahaja melewati tiang gol JDT.
LIGA SUPER 2023
FT : Johor Darul Ta'zim 6-0 Kedah Darul Aman
⚽ Fernando Forestieri 23', Feroz Baharudin 48', Oscar Aribbas 50, Bergson (P) 53', Arif Aiman Hanapi 76', Leandro Velazquez 86'#LigaSuper2023#LuaskanKuasamuJohor#pulunkedahpulun pic.twitter.com/L1KxKZeSRK
— Flash Sukan (@FlashSukan) April 9, 2023
Bersambung babak kedua, belum ada tanda-tanda anak buah Esteban Solari mengendurkan asakan sebaliknya terus melancarkan serangan menggila tanpa henti.
Skrip permainan Kedah bertukar 100 peratus sebaik sahaja tandukan gol Feroz Baharudin m-48 menggandakan kelebihan JDT manakala Oscar Arribas mencatat selaku penjaring ketiga serta gol pertamanya untuk JDT musim ini dua minit selepas itu.
Bergson tidak ketinggalan meledak gol daripada sepakan penalti m-53 sekali gus mematahkan sayap Sang Kenari yang kelihatan kurang bermaya dan kerap melalukan kesilapan individu. Pemain muda sensasi, Arif Aiman Hanapi turut memahat nama dengan jaringan bijak m-76 menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.
Malang KDA FC berterusan lagi malam ini apabila pemain gantian, Leandro Velazquez menyumbat jaringan dari sudut sukar untuk gol keenam JDT pada penghujung minit permainan sekali gus menghadirkan igauan ngeri seluruh pemain serta penyokong mereka yang berkunjung ke stadium.