KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berbangga dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya terutama pada babak kedua dan menganggap JDT kini menuju ke arah yang tepat dan masih banyak yang boleh diberikan oleh pasukan ini.

Dia juga gembira dengan kombinasi pertahanannya yang berjaya memastikan Syihan Hazmi tidak dibolosi pada aksi debutnya bersama skuad Harimau Selatan.

Solari turut mengatakan perasaan terlalu berhati-hati dan mahu membuktikan sesuatu kepada penyokong sendiri menyebabkan mereka akan tertekan pada babak pertama meskipun berjaya memperolehi jaringan awal.

“Saya rasa keputusan ini sangat positif kerana sukar untuk memulakan kempen dengan aksi final. Kami melalui kempen pramusim yang baik dan berjaya memulakan perlawanan dengan baik tetapi gagal untuk kekalkan penguasaan bola. Kami sedikit tertekan tetapi segalanya berubah pada babak kedua kerana kami lebih berani memegang bola dan dan saya berbangga dengan pemain.

“Syihan tidak bolos dan ianya baik kerana ini tanda kombinasi pertahanan kami sangat baik. Saya gembira dengan pasukan namun ini adalah langkah pertama dan perjalanan masih panjang.

“Kadangkala kami terlebih berhati-hati dan kami mahu tunjuk kepada penyokong sendiri kami mahu mencapai kemenangan dan ini adalah ciri-ciri pemain yang baik. Saya juga turut gembira dengan semua pemain muda yang dapat menyerap tekanan dan menunjukkan karektor yang kami mahukan,” katanya ketika sidang media di Stadium Sultan Ibrahim selepas perlawanan.

Ditanya bahagian mana dan apa yang perlu diperbaiki menjelang aksi kedua menentang Kuala Lumpur City FC, Solari berkata mereka perlu menggerakkan bola lebih pantas dan mencari kombinasi pemain yang lebih baik.

“Kami perlu menggerakkan bola lebih pantas dan mencari kombinasi lebih baik. Kami menuju ke arah yang tepat dan pasukan ini mempunyai banyak lagi yang boleh diberikan dan masih banyak perlu diperbaiki,” tambahnya.

JDT berjaya memenangi Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC 2-0 sekaligus memungut tiga mata untuk perlawanan juga yang dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super.

ARTIKEL BERKAITAN : JDT mula musim dengan kemenangan, tambah rekod baharu