PASUKAN Johor Darul Ta’zim  (JDT) memulakan musim Liga Super 2023 dengan kemenangan bergaya apabila berjaya menumpaskan Terengganu FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Selain daripada itu, JDT juga turut berjaya mencipta rekod baharu kelab dan bola sepak Malaysia apabila mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut dan juga menyamai rekod Selangor dengan jumlah lapan kejuaraan.

Pengendali JDT, Esteban Solari memberikan debut Liga Super kepada Jordi Amat yang dilantik sebagai kapten selain Oscar Arribas, Juan Muniz dan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi.

Juan Muniz tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan gol pertama pada minit kelima perlawanan selepas melompat tinggi melepasi pertahanan Terengganu untuk menyambut hantaran lintang Bergson.

Harimau Selatan lebih banyak mengasak tetapi Terengganu menunjukkan disiplin yang tinggi dalam bertahan sekaligus berjaya mengekang bahagian serangan JDT untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT, Bergson Da Silva menggandakan kedudukan selepas menerima hantaran Arif Aiman untuk gol ke-53 peribadinya dalam Liga Super.

Tidak banyak yang dapat dilakukan pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner untuk mengubah aksi anak-anak buahnya dengan Syihan Hazmi langsung tidak diuji dalam keseluruhan permainan untuk debut yang cemerlang.

31,889 penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim nyata gembira dengan corak permainan yang ditunjukkan barisan bintang JDT dan berjaya mencatat kemenangan pertama musim ini dan juga menjulang Piala Sumbangsih.