KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan telah menawarkan kontrak kepada pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq seperti yang dilaporkan di media sebelum ini.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi kelab menjelaskan mereka juga terkejut dengan khabar angin yang berlegar.

Selain itu Alistair turut menjelaskan bahawa Harimau Selatan kini sedang berbincang dengan beberapa pemain antarabangsa dan mungkin akan menandatangani seorang pemain tempatan dan yang pastinya pemain itu bukanlah Atiq seperti yang dilaporkan.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran telah dibuat kepada pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

“JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain antarabangsa dan mungkin menandatangani seorang pemain tempatan tetapi pemain itu bukanlah Atiq.

“Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran itu kerana tiada seorang pun staf teknikal termasuk saya sebagai Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain itu,” menurut kenyataan rasmi itu.

JDT kini dalam proses menambah baik pasukan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2023 dengan format Liga Super baharu yang menampilkan 18 pasukan berbanding 12 pasukan ketika ini selain kewujudan Liga Simpanan.

Harimau Selatan juga kini diambang kejuaraan liga kesembilan berturut-turut jika berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Iskandar Puteri esok dan pencabar terdekat, Sabah tewas di Gong Badak.