PASUKAN gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang menggunakan bola baharu Liga Malaysia, iaitu Puma Orbita MFL 1.

Pada Jumaat lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru sahaja mengumumkan pelancaran bola rasmi untuk Liga Malaysia yang akan bermula pada Mei hadapan sejurus memperlihatkan corak menarik pada bola tersebut.

Bola rasmi yang berada di bawah jenama sukan global Puma | Active Sports telah menjadi penyedia dan penaja bola perlawanan rasmi dengan teknologi dan reka bentuk terkini untuk semua perlawanan elit di Malaysia.

JDT menggunakan bola rasmi Liga Malaysia, Puma Orbita MFL 1.

Dalam masa yang sama, skuad Harimau Selatan pula telah mengambil peluang keemasan dengan menggunakan bola rasmi Puma Orbita MFL 1 itu pada sesi latihannya.

Dapat dilihat dengan jelas, gabungan warna ikonik kuning, merah, putih dan biru telah diilhamkan daripada bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang, Puma Orbita MFL 1 menampilkan reka bentuk berani dan rekaan grafik yang menarik dengan warna asas putih.

Terdapat juga logo Puma berwarna kuning terang yang melengkapkan lagi penampilan menakjubkan bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025 itu.

Artikel Berkaitan: Puma Orbita MFL 1 kekal bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025