JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sentiasa memastikan pengalaman menyokong menjadi satu perkara yang menyeronokkan dan sukar dilupakan oleh penyokong yang berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim sama ada ketika hari perlawanan atau tanpa sebarang aksi.

Selain mempunyai stadium dengan padang yang terbaik untuk aksi bola sepak yang menarik, Stadium Sultan Ibrahim juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan F&B yang menarik minat pengunjung untuk melawat stadium itu sekaligus menjadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Johor.

Terbaharu, JDT memperkasakan lagi pengalaman menyokong apabila menjalin kerjasama dengan dua organisasi antarabangsa iaitu IKEA dan Ikano Centres yang menguruskan Pusat Beli Belah Toppen di Johor Bahru.

Menurut siaran media yang dimuatnaik laman sosial rasmi kelab, penyokong JDT selepas ini dapat menikmati karipap IKEA yang terkenal dengan pembukaan gerai konsep unik di Stadium Sultan Ibrahim manakala sebuah ‘fans club house’ bakal dibuka di bumbung terbuka Pusat Beli Belah Toppen untuk penyokong berkumpul menyaksikan perlawanan JDT secara langsung beramai-ramai.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama-sama IKEA Tebrau dan Pusat Beli-belah Toppen telah mengumumkan kerjasama untuk menyemarakkan minat terhadap bola sepak dan memperkukuh hubungan komuniti dalam persekitaran suasana bola sepak yang berkembang pesat di Johor.

“Pusat beli-belah Toppen bakal menjadi destinasi kepada rumah kelab penyokong khusus di atas bumbung terbukanya — The Topp yang dijadualkan dibuka pada awal 2024 dan akan menampilkan gudang barangan dan ruang yang direka khusus untuk penyokong JDT berhimpun di luar stadium.

“Toppen juga sedang dalam proses untuk mendapatkan hak penyiaran secara langsung semua perlawanan JDT sekaligus akan menjadikannya destinasi tunggal di Johor selain Stadium Sultan Ibrahim yang membolehkan penyokong menikmati siaran langsung perlawanan JDT secara konsisten bersama-sama.

“Sementara itu, IKEA Tebrau sedang memuktamadkan konsep unik yang menawarkan para penyokong peluang untuk menikmati makanan IKEA kegemaran mereka sambil menghayati inspirasi perabot rumah di Stadium Sultan Ibrahim.

“Kerjasama ini juga merangkumi penyelesaian reka bentuk IKEA for Business bagi kawasan-kawasan penting di Stadium Sultan Ibrahim selain promosi khas untuk penyokong Harimau Selatan di IKEA Tebrau.

“Ianya selaras dengan wawasan yang dikongsi bersama ketiga-tiga pihak untuk menggalakkan komuniti menjalani gaya hidup yang aktif dengan menjadikan sukan dan rekreasi lebih mudah diakses oleh orang ramai,” tulis kenyataan media itu.

Perjanjian Kerjasama itu ditandatangani di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri pada 5 Oktober 2023 dengan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menjadi saksi kepada kerjasama yang menggalakkan penglibatan komuniti untuk menjalani gaya hidup sihat.

Dengan dua kerjasama ini, nilai komersil JDT dan Stadium Sultan Ibrahim semakin bertambah dengan penambahan pilihan F&B sekaligus memberikan tambahan pendapatan buat kelab di luar bola sepak selain memberikan pengalaman menyokong yang baharu buat penyokong Harimau Selatan.