PASUKAN JDT Racing Team meletakkan sasaran untuk memenangi kedua-dua perlumbaan pada Sabtu dan Ahad apabila saingan Pusingan Kelima Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 singgah ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas hujung minggu ini.

Prinsipal pasukan, Steven Tan mengakui pasukannya perlu mengambil kesempatan di ‘laman sendiri’ ini bagi memastikan mereka berada pada kedudukan yang selesa dan tidak berada dalam tekanan pada pusingan terakhir di Buriram pada Disember.

Steven juga menegaskan jentera Ducati Panigale V4R yang dikendalikan pelumba berpengalaman, Hafizh Syahrin Abdullah mempunyai kekuatan di Sepang dan kesempatan ini perlu diambil untuk meraih mata maksimum.

“Kami memerlukan dua kemenangan di Sepang untuk mengurangkan tekanan di Buriram nanti. Pada perlumbaan ini juga kami mendapat khidmat ketua mekanik dari Ducati Factory dan sokongan ini penting buat Hafizh untuk dia mencipta kemenangan di depan penyokong sendiri.

“Litar Sepang mempunyai dua laluan lurus yang panjang yang sesuai dengan jentera Ducati kami dan kami akan gunakan kelebihan itu untuk merebut tangga teratas podium untuk kedua-dua perlumbaan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

JDT Racing Team juga teruja untuk beraksi di Sepang dengan kehadiran penyokong tempatan serta buat pertama kalinya penyokong JDT, Boys of Straits (BOS) akan hadir ke litar bagi memberikan sokongan buat Hafizh Syahrin.

“Sudah tentu beraksi di Sepang beri sedikit kelebihan buat Hafizh dibantu pula kehadiran peminat tempatan dan BOS sudah tentu akan menjadi pembakar semangat buat kami memberikan keputusan yang positif,” jelasnya.

Selepas berakhir empat pusingan, Hafizh Syahrin kini ditangga kedua keseluruhan kategori pelumba dengan 110 mata, ketinggalan enam mata dibelakang pendahulu, Andi Farid Izdihar yang menunggang jentera Honda.

Pusingan Kelima ARRC akan berlangsung dari 13 hingga 15 September dengan kemasukan ke litar dibuka secara percuma dan dijangka akan menjadi perlumbaan yang hangat dalam menentukan juara keseluruhan musim ini.