PASUKAN JDT Racing Team tiba ke Litar Antarabangsa Zhuhai untuk pusingan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 sehari lebih awal berbanding kebiasaan kerana ingin meminimumkan kesilapan selepas belajar dari apa yang berlaku ketika perlumbaan pembukaan di Buriram bulan lalu.

Ketika di Buriram, masalah kargo menyebabkan jentera Hafizh Syahrin tiba lewat di Litar Antarabangsa Chang menyebabkan keadaan sedikit huru hara dan kehilangan banyak masa sekali gus menyukarkan pasukan untuk mendapatkan set up terbaik buatnya.

Prinsipal Pasukan, Steven Tan berkata kepada FLASH SUKAN, dia tidak mahu perkara yang sama berulang dan memastikan semua krew dan pelumba mendapat rehat secukupnya bagi mengurangkan kesilapan dan perkara ini dipersetujui sendiri oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.

Steven (kiri) dan Hafizh Syahrin sedia bawa nama JDT Racing Team di Zhuhai

“Kami telah tiba di Zhuhai pada Isnin, awal sehari berbanding pasukan lain kerana kami mahu lebih bersedia kali ini berbanding perlumbaan sebelum ini kerana mahu memastikan semua krew dan pelumba mendapat rehat secukupnya sebelum ‘pit set up‘ rasmi pada Rabu.

“Kebanyakan pasukan kebiasaannya hadir pada Selasa tetapi saya sudah belajar dari episod di Buriram di mana apabila kita tiba sehari sebelum hari set up rasmi dan terus bekerja pada Rabu, pasukan dalam keadaan keletihan dan disitulah mulanya berlaku kesilapan.

“Setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, JDT Racing Team memutuskan untuk tiba sehari lebih awal supaya pasukan lebih bersedia untuk mendapatkan tahap optimum dari setiap krew dan juga pelumba.

“Ini adalah cara JDT kerana Tunku Ismail sering menegaskan yang kita perlu mengambil berat tentang ahli keluarga kita sendiri,” katanya.

Pusingan Kedua ARRC 2024 berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China

Selepas berjaya meraih podium dalam perlumbaan debut di Buriram, JDT Racing Team hadir ke Zhuhai dengan semangat yang lebih tinggi untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik dan Steven yakin dengan segala apa yang sudah dirancang namun segala-galanya akan terjawab pada hari perlumbaan.