PASUKAN JDT Racing Team kini sudah bersedia untuk menggegar Litar Antarabangsa Zhuhai untuk pusingan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 dengan sasaran adalah untuk memperbaiki pasukan dari segala aspek.

Selepas mencatatkan aksi cemerlang pada debut di Litar Antarabangsa Chang Buriram bulan lalu, JDT Racing Team kini lebih fokus dan sudah mempunyai data dari jentera Ducati Panigale V4R untuk memberikan lebih keyakinan dalam melakukan ‘set up‘.

Prinsipal Pasukan, Steven Tan berkata fokus utama mereka adalah untuk menjadi lebih baik dari sebelum ini dan menetapkan standard serta SOP mengikut acuan professional yang telah dicipta Johor Darul Ta’zim.

Steven memberi taklimat kepada pasukan

“Ketika ini kami ketinggalan 25 mata dari pendahulu dalam kategori pelumba dan pengeluar. Sasaran kami adalah untuk memperbaiki pasukan ini dalam semua aspek termasuk persembahan jentera, organisasi krew dan etika kerja.

“Kami adalah peneraju pasukan ini dan perlu menetapkan standard dan SOP dari segi etika kerja, struktur pelaporan jadi apabila kami tidak lagi bersama pasukan, perkara ini akan diteruskan lagi berdasarkan standard yang telah ditetapkan JDT serta pemilik, Tunku Mahkota Ismail.

“Perjalanan kita masih panjang dan selepas pusingan di Zhuhai ini, kita masih mempunyai lapan pusingan di Jepun, Indonesia, Malaysia dan Thailand. Oleh itu kami perlu bekerja keras dalam setiap perlumbaan untuk memungut mata bagi kedua-dua kategori,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Hafizh Syahrin sudah bersedia selepas debut positif di Buriram

Steven juga turut menyatakan bahawa pelumba pasukan, Hafizh Syahrin Abdullah kini berada dalam keadaan yang cukup baik dengan memanfaatkan sesi latihan di Pusat Latihan JDT yang lengkap.

“Semua di dalam pasukan sedang dalam semangat yang baik dan Hafizh sendiri berada dalam keadaan yang baik sejak dia secara konsisten menjalani latihan sejak tiga minggu lalu di Pusat Latihan JDT dan dia sudah bersedia untuk berlumba,” jelasnya.